JellyPages.com

JUmlaH PeLawAt

sahabat^^,

Selasa, 16 Mac 2010

dunia & wanita purdah

Suatu kisah...
Kisah ini berlaku sewaktu aku di Madinah. Suatu hari aku berjalan melalui pasar. Sebaik saja muazzin melaungkan azan, aku terlihat seorang wanita. Wanita itu ganjil cantiknya. Dia berpaling kepadaku seolah-olah tahu bahawa aku merenungnya. Malah dia memberikanku anggukan kecil penuh bermakna sebelum wanita itu berpusing di satu sudut menuju ke lorong penjual sutera.

Bagaikan terkena panahan halilintar, aku serta-merta tertarik, hatiku terpukau dengan wanita itu. Dalam kepayahan aku berdebat dengan hatiku, memberikan satu demi satu alasan untuk meneruskan langkahku ke masjid memandangkan masanya telah tiba untuk solat, namun perdebatan ternyata gagal. Aku memutuskan untuk mengikut wanita tersebut.

Aku bergegas mengejar wanita itu, nafasku pantas dan mengah manakala wanita itu tanpa disangka mempercepatkan langkahnya. Dia telah berada jauh beberapa kedai di hadapan. Dia memaling wajahnya seketika padaku, terasa kudapat melihat cahaya senyuman nakal wanita itu dibalik purdah hitamnya. "Adakah ini khayalanku sahaja?" bisik hatiku. Akalku seolah-olah tidak berfungsi pada waktu itu.

"Siapakah wanita itu?"

Aku memantaskan langkahku dan memasuki lorong dimana wanita itu dilihatku masuk. Dan seterusnya wanita itu mengimbau aku, sentiasa dihadapan, masih tidak dapat dikejar, semakin jauh dan jauh dari mana kami mula-mula bersua. Perasaanku tambah membuak.

"Adakah wanita itu orang gila?"

Semakin jauh nampaknya wanita itu berjalan hingga ke penghujung bandar. Mentari turun dan tenggelam, dan wanita tersebut masih berada jauh di hadapanku. Sekarang, kami berada di tempat yang tidak disangka, sebuah perkuburan lama.

Kalaulah aku siuman seperti biasa, pasti aku akan merasa gementar, tapi aku terfikir, tempat yang lebih ganjil dari ini biasa dijadikan tempat pasangan kekasih memadu asmara. Dalam 60 langkah di antara kami aku melihat wanita itu memandang ke arahku, menunjuk arah, kemudian turun ke tangga dan melalui pintu bangunan sebuah kubur tua.

Kalaulah aku tidak diamuk senyuman wanita itu tadi, pasti aku berhenti sebentar dan memegun masa, tapi sekarang tiada guna berpaling arah, aku menuruni tangga tersebut dan mengekori wanita itu ke dalam bangunan kubur itu. Di dalam bilik bangunan kubur itu, kudapati wanita itu duduk di atas ranjang yang mewah, berpakaian serba hitam masih berpurdah, bersandar pada bantal yang diletak pada dinding, diterangi cahaya lilin pada dinding bilik itu. Di sebelah ranjang itu, aku terpandang sebuah lubang perigi. "Kuncikan pintu itu," kata wanita itu, dengan suara yang halus gemersik seumpama berbisik, "dan bawakan kuncinya. " Aku akur.

"Buangkan kunci tersebut ke dalam perigi itu," kata wanita itu. Aku tergamam sebentar, kalaulah ada saksi di situ, pasti saksi itu dapat melihat gamamku. "Buang-lah," ujar wanita itu sambil ketawa, "tadi kau tidak berfikir panjang untuk meninggalkan solatmu untuk mengekoriku kemari?" Tempelak wanita itu lagi. Aku diam.

"Waktu maghrib sudah hampir selesai," kata wanita itu bernada sedikit menyindir . "Apa kau risaukan? Pergilah buangkan kunci itu, kau mahu aku memuaskan nafsumu, bukan?" Aku terus membuang kunci pintu tersebut ke dalam perigi, dan memerhatikan kunci itu jatuh. Perutku terasa bersimpul tatkala tiada bunyi kedengaran ketika kunci itu jatuh ke dalam lantai perigi. Aku berasa kagum, kemudian takut.

"Tiba masanya untuk melihat aku," kata wanita tersebut, dan dia mengangkat purdahnya untuk mendedahkan wajah sebenarnya. Bukan wajah segar seorang gadis remaja, tapi kehodohan wajah yang mengerikan, jijik, hitam dan keji, tanpa satu zarah cahaya kelihatan pada alur kedut ketuaannya. " Pandang aku sungguh-sungguh," kata wanita itu lagi.

"Namaku Dunia. Aku kekasihmu. Kau habiskan masamu mengejarku , sekarang kau telah memiliki diriku . Didalam kuburmu. Mari. Mari." Kemudian wanita itu ketawa dan ketawa, sehingga dia hancur menjadi debu, dan lilin itu padam satu demi satu, dan kegelapan menyelubungi suasana.

-------------------------------




Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud yang bermaksud:

"Hampir-hampir seluruh umat mengeliling kamu sepertimana orang-orang yang kelaparan mengelilingi hidangan mereka.' Ada yang bertanya, 'Apakah itu disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih. Allah mencabut dalam hati seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu dan meletakkan perasaan al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya: 'Apa al-wahn itu wahai Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan bencikan mati.' "

pisang dan hati



Pisang dan Hati
www.iluvislam.com
dihantar oleh: shimi
Editor: deynarashid


Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Mayam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu Cikgu Maryam.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci. Moralnya, jangan letak pisang dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati.

awak sudi jadi isteri ke dua saya


Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?
www.iLuvislam.com
serunaiklang_91
editor : everjihad




"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.


Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.

"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.

"Tak. Maksud saya…"


"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.

"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.


Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.

Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah, Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.

Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.

Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu.

"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.

"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.



"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.

"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.


"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.

Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut

"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.

"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.

Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

"PERJUANGAN, " jawab Syazni.


***************



Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!

Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…


Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.


Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…


Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!




Sumber : penditamuda.blogspot.com

Khamis, 11 Mac 2010

lafaz cinta

Ya Allah. dimana lagikah dapat ku temui cinta sejati..

kecuali pada cintaMu..

ke mana lagikah hati ini harus berlabuh..

kecuali pada kasihMu..

Jadikanlah hati yg lemah ini yaAllah..

tertambat kukuh hanya padaMU..

Aku mohon redha atas segenap keputusanMu

kesejukan setelah matiku..

kenikmatan memandang wajahMu..

dan kerinduan untuk berjumpa denganMu..

Ampunilah diri ini yang tidak beharga Ya Allah ..

Penuhilah kehinaannya dengan keindahan maghfirahMu’

Isnin, 8 Mac 2010

ingatan buat gadisku







Hidup ini kadang-kadang rasa gembira, kadang-kadang rasa sedih, nak
marah ,merajuk atau jauh hati, kadang-kadang rasa di sayangi, rasa
di perlukan, rasa terasing, rasa di buang … macam-macam perasaan
yang bersarang dalam hati dan itulah kurnian dariNya yang maha bijak
sana dan seharusnya kita bersyukur.

Kadang –kadang kita sering alpa ,leka dengan keindahan dunia ,
terlalu menurut kehendak nafsu , mengikut telunjuk syaitan sampai
terlupa yang diri ini adalah hamba dan mendapat rahmat daripadanya
,hamba yang sering dikurnia kan nikmat dariNya , tetapi kita terlalu
sedikit mensyukurinya.
Kebiasaanya manusia akan merasa bahagia bila disayangi , di beri
perhatian ,di ambil berat ,di cintai , kadang-kadang sedikit bangga
bila diri ini dirindui .Tapi oleh kerana terlalu tabsub mengejar
semua ni ,kadang-kadang kita tak sedar yang kita telah melanggar
perintah Allah , melanggar syariat sekaligus mencemarkan tatasusila
kita sebagai muslimah yang beriman. Betapa wanita itu akal nya
setipis rambutnya, ….hatinya serapuh kaca….dan perasannya yang
selembut sutera itu maka hendaklah di bekalkan dengan ilmu , di
kuatkan kan dengan iman dan dihiasi dengan akhlak.

Makhluk emosinal atau lebih dilabelkan sebagai makhluk perasa dan
itulah wanita berbanding lelaki yang lebih di nobatkan kan sebagai
mahkluk berakal.Wanita juga di labelkan sebagai makhluk pemalu…sukar
untuk meluahkan rasa,

Rasulullah saw bersabda "Malu dan iman itu bergandingan bila
terangkat satu maka terangkatlah satu lagi" ..maka ini jelas
menunjukkkan kepentingan malu dalam diri setiap muslimah.

Persoalannya sekarang , masihkah sifat malu ini menyelubunggi diri
setiap muslimah? Jika ya kenapa masih ada lagi mereka yang berani
membonceng motor dengan lelaki yang bukan muhrim , mengapa ada lagi
muslimah yang tidak menutup aurat , yang paling sedih bila ana
terdengar ada diantara kawan ana yang bercerita tentang member
mereka yang membuka aurat sedangkan dulunya aurat itu di jaga.Kenapa
kita mudah mengikuti perkara yang tidak baik sedangkan perkara yang
baik kita tolak ketepi.

Tapi sedarkah kita selemah –lemah wanita ini ia berjaya menguasai
kaum adam yang mempunyai sembilan akal , bertapa peliknya…tapi
itulah kenyataan.

Bertapa kuatnya pengaruh wanita pada lelaki dan ini menunjukkan yang
dunia ini telah hampir pada akhir zaman.

Betul kata Rasulullah saw " Sesungguhnya kemusnahan kaum lelaki itu
adalah kerana mentaati wanita-wanita mereka"

Selain daripada itu "Kejahilan bagi kaum lelaki ialah mentaati
wanita selain daripada ibunya"

Huzaifah r.a berkata ia mendengar saw bersabda di dalam khutbahnya

"Arak adalah ibu segala maksiat , wanita adalah jala syaitan dan
cinta dunia adalah kepala setiap dosa."

Rangkap yang wanita adalah jala (perangkap syaitan ) menjelaskan
maksud samada syaitan telah menghiasi mereka dengan begitu menarik
supaya menimbulkan rangsangan ataupun lelaki yang jahat akan
memandang serta menggoda mereka dengan perantaraan mereka.

Ibnu Mas'ud ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah
bersabda , "Wanita adalah objek yang tersorok , di mana ,apabila ia
keluar syaitan akan menghias mereka untuk menggoda kaum lelaki"
At-Tirmizi.

Sedarlah kaum lelaki , di sini cabaran bagi anda maka jangan
sesekali terbuai dengan tipu daya syaitan seperti firman Allah yang
bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman , masuklah kamu ke dalam islam
keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah –langkah syaitan
.Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang paling nyata bagimu.Tetapi
jika kamu tergelincir (dari jalan Allah) sesudah datang padamu
bukti-bukti kebenaran , maka ketahuilah , bahawasanya Allah Maha
Perkasa lagi Maha bijaksana" (Al-Baqarah 208-209)



Buat kaum lelaki berwaspadalah jangan sesekali mendidik kaum wanita
dengan mengikuti perintahnya kerana ia mencerminkan kejahilan anda ,
jangan jinakkan mereka dengan emas atau harta kerana mereka akan
jadi liar dan kau semakin diperbodohkan , jangan hiburkan mereka
dengan kecantikan kerana mereka akan menderita dan kau akan
sengsara. Maka pimpimlah mereka dengan jalan kebenaran ,jalan yang
diredhai Allah kerana kau akan di tanya akan tanggungjawabmu itu
wahai lelaki.



Ibnu Umar r.a berkata :Bersabda Rasulullah Saw :

"Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu akan di tanya tentang mereka
yg kamu pimpin .Raja yang memimpin rakyatnya dan suami pemimpin
kepada keluarganya dan isteri pemimpin rumah tangga suami dan
anak-anaknya .Maka kamu sekalian pemimpin dan akan bertanggumgjawab
atas pimpinanmu"

(Riwayat Bukhari dan muslim)



Huzaifah berkata dia mendengar Rasulullah saw bersabda :

"Letakkanlah wanita pada kedudukan yang paling rendah lantaran Allah
juga telah melakukan demikian" ( Razin dan Baihaqi)

meletakkan mereka pada kedudukan yang paling rendah bermaksud bahawa
Allah swt juga telah berfirman mengenai mereka selepas kaum lelaki
di dalam Al-Quran .Begitu juga di dalam solat berjemaah , kaum
wanita di kehendaki bersolat di bahagian terakhir .Di dalam kes
persaksian , warisan dan pangkat Allah telah meletakkan wanita pada
kedudukan kedua berbanding kaum lelaki .



Ana harap lepas ni jangan ada pula perasaan benci pada kaum ana ,
ana sekadar memberi ingatan pada golongan Adam supaya tak mudah leka
, tak sedikit pun bermaksud nak mengecilkan atau merendahkan kaum
ana sebabnya ana pun pompuan juga.



Buat muslimin kamu perlukan wanita , tanpanya hidupmu tak sempurna
dan kamu tak akan ada di dunia ini , kamu perlukannya sebagai teman
untuk menemanimu dalam meneruskan perjuangan ,pendorong dikala
kesulitan , penyuluh dikala kamu tersasar , pembakar semangat dan
lain-lain.

"Apa yang tak ada dalam syurga sehingga Adam inginkan Hawa"


Penciptaan wanita ini tidak sia-sia , Allah menciptakan sesuatu ,ada
rahsia yang tersembunyi , ada hikmah ada kebaikannya.



Rasulullah saw bersabda :

"Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan
dari tulang rusuk dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah
bahagian yang teratas , jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan
mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok ,
maka berlakul;ah baik pada wanita kamu" (Al-Bukhary dan muslim)
_________________
Tuhan layarkanku ke arah cintaMu
Tuntuniku menggapai redhaMu
Rimbunan kasihMu ku berteduh
KepadaMu ya Tuhan
Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan